Wednesday, September 17, 2008

wangsa maju

BANDAR WANGSA MAJU DIRASMIKAN OLEH PERDANA MENTERI DATUK SRI DR. MAHATHIR MOHAMAD

Tarikh Siaran: 26.02.2000

Tarikh Peristiwa: 26.2.1984

--------------------------------------------------------------------------------

Adalah menjadi tugas utama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melaksanakan projek-projek pembangunan bandar-bandar baru di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Wangsa Maju adalah merupakan projek pembangunan bandar baru yang kedua dilaksanakan oleh DBKL, selepas bandar Baru Tun Razak, Cheras pada tahun 1975.

Pada hari ini 26.2.1984 Perdana Menteri YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan bandar baru tersebut bersempena dengan sambutan ulangtahun penubuhan Wilayah Persekutuan Ke 10.

`Wangsa Maju' iaitu singkatan kepada `Bandar Baru Titiwangsa Maju' adalah projek pembangunan bandar baru yang berbentuk usahasama yang pertama yang diusahakan dan dilaksanakan oleh DBKL dan Peremba Berhad. Penglibatan pihak swasta mencerminkan hasrat Kerajaan membangunkan negara menerusi konsep Persyarikatan Malaysia.

Wangsa Maju juga merupakan sebuah pusat bandar baru yang dirancang selaras dengan Pelan Struktur bagi menyediakan kawasan perumahan, perdagangan dan perindustrian.

Pembangunan projek itu melibatkan keluasan lebih kurang 410 hektar (1.025 ekar). Dalam Fasa 1 terdapat 12,028 unit rumah kos sederhana dan rendah, manakala Fasa 2 pula adalah merupakan pembangunan pusat bandar, kawasan perindustrian, `town parks' dan pembinaan rumah harga tinggi. Pelaksanaan Fasa 1 akan siap sepenuhnya pada akhir tahun 1986 dan Fasa 2 pula pada tahun 1995.

Sesungguhnya dengan perasmian projek pembangunan Bandar Baru Wangsa Maju yang julungkalinya dijalankan secara usahasama pada hari ini diharap akan menghasilkan kejayaan yang cemerlang dan dapat meningkatkan lagi proses perbandaran negara ini dengan jayanya.

No comments: