Saturday, August 2, 2008

BANJIR KILAT

Banjir Kilat: Kuala Lumpur “Tenggelam”?

Kuala Lumpur, 14 Jun - Petang ini, Presiden KeADILan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim diiringi Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua, bekas Naib Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Sharifah Shahida Syed Kamaruzaman, ahli exco AMK Ginie Lim dan 20 orang ahli Angkatan Muda (Wilayah Persekutuan dan Selangor) melawat kawasan Masjid Jamek dan kawasan perniagaan Masjid India.
Peniaga-peniaga di sana kerugian besar selepas air banjir naik paras setinggi 5.8 kaki. Terdapat kedai yang masih ditutup, dan ramai peniaga yang melelong barangan rosak seperti baju, kain, dan sebagainya. Terdapat juga peniaga yang terpaksa meminjam wang untuk membayar hutang perniagaan mereka.
Wan Azizah kesal dengan keadaan yang dihadapi peniaga di sana dan mendesak DBKL dan kerajaan pertimbang balik dasar pembangunannya dan membincangkan langkah-langkah pemulihan dengan pakar-pakar alam sekitar dan mengambil kira pandangan masyarakat awam dalam mengusahakan pencegahan masalah banjir daripada berulang di Kuala Lumpur.
Banjir besar yang melanda Kuala Lumpur Ahad lalu bukan kejadian luar biasa walaupun jumlah air hujan melampaui 9 kali ganda purata biasa.
Menurut Wan Azizah , Kuala Lumpur sudah berkali-kali mengalami banjir teruk, kejadian sebelum ini berlaku tiga tahun lalu.
Kali ini, dalam tempoh seminggu, dua kejadian banjir kilat yang teruk melanda ibukota mengakibatkan kerugian harta benda berjuta-juta wang ringgit.
Soal Wan Azizah: “Apakah yang sudah dibuat oleh DBKL dan kerajaan dalam tiga tahun ini untuk menangani masalah banjir di Kuala Lumpur?
“Kita telah menyaksikan cara pihak berkuasa memusnahkan taman-taman serta pokok-pokok untuk membina lagi satu bangunan pejabat. Bukit-bukit pula diratakan untuk memuaskan golongan pemaju.
“Jika ini berterusan, kolam-kolam, longkang dan terowong yang kita bina tidak akan menyelesaikan akar masalah banjir, iaitu perancangan bandar yang tidak effisyen, dan pembangunan tidak terkawal,” katanya.
Wan Azizah juga hairan dengan kerajaan yang cenderung untuk menganugerahkan kontrak-kontrak lebuhraya dan jalan bertol tetapi, pada masa yang sama, kurang berminat kuatkuasakan pembersihan sungai-sungai dan longkang-longkang yang tersumbat.

No comments: